Tentang Rustam A. Sani

Rustam A. Sani dianggap antara ‘cendekiawan awam’ yang penting di Malaysia (lihat Jomo, 2001: 9)*. Beliau merupakan seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair – selain terlibat dalam pelbagai kegiatan politik, sosial dan sastera. Sebagai ahli akademik dan penganalisis, beliau pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan ISIS Malaysia.

Antologi puisinya – Riak-riak Kecil (1977) – diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1988/89 beliau telah dianugerahkan ‘Hadiah Sastera Negara’ dalam kategori esei dan kritik sastera. Dalam bidang politik, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden, Parti Rakyat Malaysia.

Rustam memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti Malaya, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Reading, University of Kent at Canterbury (UK) dan Yale University (AS). Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik, baik dalam bahasa Malaysia maupun Inggeris – dan tulisannya meliputi pelbagai bidang seperti politik, isu-isu sosial, sejarah, budaya, statistik dan sastera. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan terjemahan karya-karya sastera dan bukan sastera (dari Inggeris ke bahasa Malaysia dan sebaliknya).

Antara buku-buku karya beliau adalah: Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992); Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993); Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993); Menjelang Reformasi (2004); Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004); dan Bercanda dengan Mahathir (2006).

__________________________________________________________________________________

*Jomo, K. S. (editor), Reinventing Malaysia: Reflections on Its Past and Future, Penerbit UKM, Bangi: 2001. h.9 (Introduction).